Blogger Layouts

Sunday, November 21, 2010

Meh Kita Mengenali Sape AL-IMAM HASSAN Al-BANNA


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Al Imam Hasan Al Banna dilahirkan pada tahun 1906 di kampung AL Mahmudiyah dari daerah AL Bahriah kira-kira sembilan puluh batu dari Kaherah. Bapanya Ahmad Abdul Rahman Al Banna adalah seorang ulama dan seorang pengarang yang telah mendapat pelajaran di Azhar di zaman Al Imam Muhammad Abduh.

Hasan Al-Banna merupakan anak sulung dari lima orang adik-beradik. Dalam usia lapan tahun beliau memulakan pelajaran permulaannya di sebuah sekolah rakyat di kampungnya, dan dalam usia dua belas tahun beliau memasuki sekolah rendah, dimana beliau terus menggabungkan dirinya dalam badan “Latihan Akhlak” atau “Jama’ah Al Suluk Al Akhlaki” yang dikelolakan oleh gurunya sendiri. Di antara kegiatan badan ini ialah mengenakan tatatertib dalam bentuk denda-denda ke atas ahlinya yang mengeluarkan kata-kata cacian dan maki hamun kepada teman-teman sejawatnya atau melakukan perbuatan yang menyalahi Agama. Dalam masa yang pendek sahaja beliau memperlihatkan sifat-sifat kepimpinan yang baik dan muncul sebagai pemimpin badan itu.

Dalam peringkat usia persekolahan rendah ini, Hasan Al Banna mula menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh “Al Ikhwan Al Hasafiah” sebuah pertubuhan sufi yang banyak mempengaruhi jiwanya. Di sana beliau berkenalan dengan seorang belia yang masih muda bernama Ahmad Al Sakri yang kemudiannya menjadi tokoh yang memainkan peranan penting di dalam pertubuhan Jama’ah Al Ikhwan Al Muslimon.

Sewaktu berada di tahun akhir sekolah rendah, pemberontakan 1919 telah tercetus dan beliau turut menyertai pelajar-pelajar yang lain dalam demonstrasi-demonstrasi di perkarangan dan di luar sekolah di samping menggubah dan mendeklamasi sajak-sajak yang berkobar-kobar dengan semangat nasionalisme.

Pada tahun 1922 beliau di terima selaku anggota I dalam pertubuhan Jamaatul Al Safiah yang sebelum ini terkenal dengan nama “Al Ikhwan Al Safiah”

Pertubuhan ini mempunyai dua tujuan dua hala iaitu :
(i) berjuang untuk memelihara prinsip-prinsip akhlak Islam.
(ii) Menentang gerakan da’yah Kristian di Bandar Kahirah.

Semasa di dalam pertubuhan ini beliau terpengaruh dengan ajaran Al Imam Al Ghazali. Pada waktu itu beliau bukan sahaja terkenal rajin dengan pelajarannya, malah beliau melakukan penelahan di luar yang luas. Beliau sangat gemar membaca buku-buku Tasauf, Sejarah Rasulullah (s.a.w.), kisah-kisah perjuangan pahlawan yang mempertahankan tanah air dan agama dan kisah-kisah perjuangan menuju jalan Allah.

Pada tahun 1923 dalam usia 16 tahun beliau telah lulus sekolah perguruan rendah dan pada tahun yang sama juga beliau memasuki kuliah Darul Ulum satu yayasan pengajian tinggi yang merangkul pengajian tradisional dan pengajian moden dan merupakan satu institusi pengajian tinggi di masa itu.

Semasa berada di kota Kaherah beliau dengan pandangan mata seorang anak desa yang berpendidikan agama dapat melihat dengan jelas pergolakan parti poltitik dan aliran-aliran yang menentang agama yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Arttaturk. Beliau juga melihat aliran Non Islamic di Universiti Mesir. Ketika itu ramai beranggapan bahawa Universiti Mesir tidak akan dapat menegakkan sekularismanya melainkan dengan menentang agama dan memerangi tradisi-tradisi sosial yang berbentuk agama. Ia melihat dengan sedih bagaimana persekutuan-persekutuan, parti-parti politik, himpunan-himpunan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial yang sekular semuanya menuju satu haluan iaitu melemahkan pengaruh agama. Ketika itu beliau mengeluh merorong "Allah sahaja yang tahu berapa lama kami tidak kerana memikirkan nasib umat, menganalisakan penyakit-penyakit yang dihadapi dan cara-caran untuk mengatasinya. Kami begitu risau hingga sampai kami menangis.”

Pada tahun berikutnya beliau memasuki satu pertubuhan Agama yang lain iaitu “Jama’atul Makram Al Akhlak Al Islamiah” atau Persekutuan Budi Utama Islam, iaitu sebuah pertubuhan yang giat mengaturkan ceramah-ceramah Islam, beliau dan rakan-rakan seperjuangan telah menjalankn dakwah bukan sahaja di masjid-masjid, tetapi di segala tempat perhimpunan orang ramai terutama di kedai-kedai kopi rakyat di merata pelusuk desa. Usaha beliau membawa dakwah di kedai kopi telah memberikan hasil yang amat besar. Di peringkat ini beliau banyak membuat perhubungan dengan tokoh-tokoh pemimpin Islam yang terkenal di zaman itu seperti Mahyudin Al Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain tokoh yang memperjuangkan Islam.

Pada tahun 1927 beliau mendapat Ijazah dari Darul Al Ulum dalam usianya 21 tahun. Kemudian beliau menjadi guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah rendah di Bandar Isma’iliah di wilayah Terusan Suez dan terus berkhidmat di bidang perguruan Islam sembilan belas tahun dan meletakkan jawatannya sebagai guru pada tahun 1946. Beliau menyusun kegiatan da’wah dengan berkesan dalam masyarakat bandar Isma’iliah, beliau juga telah membawa da’wah ke kedai kopi yang dilakukan di kota Kaherah, dan di sanalah dapat mencungkil bakat-bakat manusia yang baik untuk diberikan pendidikan selanjutnya yang lebih teratur.

Walaupun beliau tinggal di Isma’iliah, namun beliau tetap mempunyai hubungan yang rapat dengan badan-badan dan tokoh-tokoh pejuang Islam di Kaherah. Beliau ikut serta menyokong pertubuhan Persekutuan Belia Islam, pada tahun 1927 dan menjadi wakil majalah Al Fatah, sebuah majalah yang bertugas selaku jurucakap badan-badan dan pertubuhan Islam di masa itu. Majalah itu dipimpin oleh Mahyuddin Al Taib salah seorang ulama pejuang Islam dan pengasas Persekutuan Belia Islam.

Pada bulan Mac 1928 beliau telah menubuhkan organisasi Al Ikhwan Muslimon di Bandar Isma’iliah. Pertubuhan itu telah berkembang pesat. Pada tahun 1923 beliau telah berpindah ke kota Kaherah dan membuka cawangan Pertubuhan Ikhwan Muslimon di Kaherah bersama adik bongsunya yang sehaluan dan seperjuangannya Abdul Rahman Al Banna. Pertubuhan itu telah berkembang subur di masa tercetusnya perang dunia yang kedua dan berjaya menjadi salah satu kuasa politik yang bertarung di masa itu.

Beliau telah mengatur Ikhwan Muslimon dalam tiga peringkat. Peringkat pertama, memperkenalkan gagasan Ikhwan Muslimon dan menyebarkan da’wah asas melalui ceramah-ceramah dan mengadakan kegiatan-kegiatan kebajikan masyarakat. Kedua, peringkat membentuk keperibadian anggota-anggota Ikhwan sebagai persediaan untuk melancarkan jihad. Ketiga, peringkat melaksanakan cita-cita perjuangan Islam yang tegas.
Dalam tahun 1948 Pertubuhan Ikhwan Muslimon telah diharamkan oleh pemerintahan Al Nukrasyi dari parti al Sa’di kerana dituduh merancangkan satu pemberontakan untuk menumbangkan kerajaan. Berikutan dengan pengharaman itu, ibu pejabat organisasi itu dikepung polis dan semua anggota yang ada di bangunan itu ditangkap kecuali Al Imam Al Sheikh Hasan al Banna. Semua cawangan organisasi itu dibubarkan dan harta bendanya diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Dalam Negeri. Organisasi itu seterusnya dituduh sebagai musuh ketat kerajaan yang cukup lengkap dengan persediaan senjata, hospital-hospital, sekolah-sekolah, kilang-kilang dan syarikat perniagaan yang kukuh.
Al Imam Hasan Al Banna yang masih bebas itu terus berusaha dengan segala dayanya, untuk menyelamatkan organisasi itu tetapi ia tidak dapat menemui jalan-jalan damai dengan perdana menteri Al Nukrasi Bassa.

Di waktu Zohor 12 Februari 1949 Al Imam Syed Hasan Al Banna telah ditembak ketika beliau keluar dari bangunan Al Ikhwan Muslimon untuk menaiki kereta sewa dan beliau telah meninggal dunia di Hospital beberapa minit selepas itu. Kematian beliau telah dirancang oleh polis rahsia kerajaan kerana menuntut bela atas kematian perdana menteri yang telah dibunuh oleh seorang mahasiswa yang bertindak atas daya-usahanya sendiri kerana marahkan pembubaran Al Ikhwan Al Muslimon.

Jenazahnya telah dikebumikan di bawah kawalan kereta-kereta kebal dan kereta-kereta perisai dan tidak dibenarkan disaksikan oleh orang ramai kecuali keluarganya sendiri.
Demikian tamatnya kisah seorang penda’wah dan pejuang Islam yang ulung di abad dua puluh dan langkah-langkah perjuangan beliau telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan yang dinamis di merata bumi masyarakat Islam.


MARI KITA SAMA-SAMA AMALKAN....
:: 10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna ::


1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

No comments:

Post a Comment