Dingin pagi masih terasa ketika melangkah masuk ke warung Pak Cu yang terletak di pinggir selekoh.
Beberapa orang penduduk kampung yang kebanyakannya mahu ke tempat kerja, singgah bersarapan
dahulu. Berbual mesra bertukar cerita sesama mereka.
Tiba-tiba datang seorang makcik, yang juga ingin ke tempat kerjanya. Mungkin berkebun kerana gaya
pakaiannya dipakai untuk ke tempat seumpama itu. Dia melangkah masuk sambil memanggil nama
pemilik warung. Makcik itu meminta sejenis ubat menambah tenaga.
Warung Pak Cu, selain menjual makanan dan minuman juga menjual keperluan harian lain, termasuk
ubat-ubat tradisional kampung. Orang kampung yang kebanyakannya bekerja membanting tulang
empat kerat, kebiasaannya memerlukan ubat-ubatan begitu. di Warung Pak Cu lah tempat mereka
mendapatkannya.
"Aku kalau tak ada ubat ni, tak boleh bangunlah..." kata makcik itu sementara menunggu Pak Cu
mengambilkan ubat yang diminta.
Selepas makcik itu keluar, pakcik (datuk) yang duduk semeja meluahkan rasa tidak puas hatinya
terhadap kata-kata makcik yang meminta ubat tadi. Kata-kata begitu tidak sepatutnya diucapkan.
Terdiam mendengar 'kuliah' ringkas pakcik tersebut. Tidak terfikir pun seperti apa yang difikirkannya.
Bukan sebarangan orang tua ini. Layaklah dia menjadi datuk kepada cucu-cucunya. Dadanya berisi ilmu,
untuk diturunkan kepada anak cucu.
Kata-kata makcik tadi boleh mengheret iktikad seseorang berada di pinggir jurang musnah. Boleh cacat
iman dihujung lidah. Kenapa? Kerana, antara ubat dan Allah Taala, yang manakah sebenarnya memberi
kekuatan kepada makcik itu untuk bangun?
Demikian rumusan dari pakcik yang duduk semeja. Walaupun mungkin ucapan makcik itu diluahkan
tanpa sedar, tetapi di sisi Allah Taala ia tetap diperhatikan.
Teringat pada baris-baris ayat dalam sepotong Hadis Riwayat Imam Muslim yang membicarakan
tentang fitnah di akhir zaman : "...di mana pada waktu pagi seseorang masih beriman, tapi pada waktu
petang menjadi kafir, atau pada waktu petang masih beriman dan pada waktu paginya menjadi kafir..."
Sedihnya menjadi orang yg beriman yang begitu. Janganlah membiarkan pulut membinasakan santan.
Pulut tetap masih boleh dinikmati walaupun tanpa berkuahkan santan. Begitulah dengan perahu yang terlajak,
masih boleh diundur. Tapi kalau terlajak kata...?!
Sumber :: ANIS/Okt'02
Mudah2an Iktikad Kita sentiasa tetap teguh hanya pada Allah yang satu..
Daripada-Nya kita dijadikan dan kepada-Nya juga kita akan dikembalikan..
InsyaAllah
No comments:
Post a Comment